20 Tips Untuk Murah Rezeki
Motivasi Kewangan : 20 Tips Untuk Murah Rezeki
Assalamualaikum salam muhibbah 
dari Hamka. Apa khabar kalian para pembaca sekalian? Dalam post kali ini
 Hamka ingin kongsikan 20 Tips Untuk Murah Rezeki. Amalan-amalan ini 
menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa 
kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah 
diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk 
memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca 
kebaikan dunia dan akhirat.
Diantaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah 
untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup 
kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu 
dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, 
Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan 
pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah 
jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan 
jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak 
istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, 
menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang 
tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan 
al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi 
Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah 
menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati 
tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri 
kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan
 hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya 
dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, 
Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan 
ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan 
menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu 
bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan 
umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan 
berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) 
daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang 
lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang 
sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih
 kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan 
berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu 
dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan 
rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu 
memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan 
disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh 
menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki 
dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., 
berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh 
berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan 
rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi 
sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui 
Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk
 mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam 
keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” 
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa 
kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza 
wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang 
membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan 
baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan 
baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
Sedekah juga akan menyuburkan 
lagi rezeki yang diperolehi. Dengan bersedekah, harta yang diperolehi 
umpama sebuah pohon yang tumbuh segar dan mekar tanpa kerosakan. Jangan 
risau, Allah SAW akan melipatgandakan rezeki buat pemberi sedekah, dan 
janganlah kita risau kerana bersedekah tidak akan mengurangi walau 
sedikit pun rezeki kita, malahan akan bertambah.
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan 
solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu
 dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat 
waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga 
mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan 
sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan 
siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada 
petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu 
bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya
 jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) 
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang 
yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran 
atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, 
ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu 
hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan 
rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir 
surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali 
setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan 
kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , 
al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan 
pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya 
Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami 
untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 
‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah 
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba 
dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan 
pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya,
 nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. 
Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan 
dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi 
agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat 
Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi
 orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh 
membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak 
tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak 
anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang 
baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi 
baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal 
kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki 
seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah 
kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim 
dari Umar bin al-Khattab .a.)
Kesemua yang disebut di atas 
adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan
 beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan 
memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” 
(At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, 
untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat 
amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih 
sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan 
rasa kaya dengan pemberian-Nya.
SUMBER;  http://hasrynazzuar.blogspot.com
 









 
No comments:
Post a Comment