Muqaddimah
Ukhuwwah adalah suatu nikmat yang manis. Ukhuwwah yang benar dan sah
lahir dari iman. Persaudaraan atau kasih sayang yang lahir dari perasaan
ta’sub kesukuan dan kebangsaan adalah ukhuwwah palsu yang tidak
mendapat tempat di sisi Allah Subhanahuwataala.
Iman bagi seseorang yang tidak melahirkan ukhuwwah menunjukkan dua kemungkinan:
1. Imannya palsu
2. Imannya benar tetapi diserang oleh penyakit tertentu yang menyebabkan ia tidak berupaya menghasilkan natijah.
Kita, yang beriman kepada Allah Subhanahuwataala hendaklah berwaspada daripada kemungkinan kedua di atas.
Tujuh langkah menghindari kerosakan ukhuwwah
Allah Subhanahuwataala, dalam surah Al Hujurat, telah memaparkan tujuh langkah untuk menghindari kerosakan ukhuwwah, iaitu:
1. Tabayyun (تبين )
Tabayyun bererti mencari penjelasan maklumat. Yakni, mencari bukti
kebenaran sesuatu maklumat yang diterima. Sikap terburu-buru menerima
sesuatu maklumat mengenai saudara seIslam boleh mengakibatkan kerosakan
ukhuwwah.
Musuh Islam memang cemburu melihat ukhuwwah yang terjalin rapi.
Mereka akan menghebahkan sesuatu berita dengan tujuan untuk
memporak-purandakan ukhuwwah orang-orang Islam. Di samping itu,
disebabkan kelalaian atau kecuaian, seseorang muslim mungkin juga akan
menghebahkan sesuatu berita yang boleh mencemarkan ukhuwwah di kalangan
orang Islam. Atau, memburukkan lagi keadaan ukhuwwah yang telah sedia
terganggu.
Di sinilah perlunya sikap tabayyun. Sehinggalah maklumat atau berita
yang tidak betul dapat dibendung dari awal-awal lagi. Allah
Subhanahuwataala berfirman:
“Wahai orang-orang beriman, jika datang kepadamu
orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak
menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya
yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
(Al Hujurat (49) : 6)
Ayat ini mempunyai hubung kait dengan kisah
hadithulfik (berita dusta) yang menimpa Sayyidah ‘Aisyah yang cukup menggoncangkan keadaan di zaman Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam.
Kalau berita yang datang daripada orang fasiq harus diteliti, maka
apatah lagi berita yang dihebahkan oleh musuh-musuh Islam yang nyata
seperti yahudi, musuh dari barat dan seumpamanya.
2. ‘Adamus Sukhriyyah (عدم السخرية )
Ertinya tidak memperolok-olokkan orang atau kelompok lain. Firman Allah Subhanahuwataala:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah satu
kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang
diperolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang
memperolok-olokkan).”
(Al Hujurat : 11)
Seseorang atau suatu kelompok yang suka memperolok-olokkan orang lain
atau kelompok lain, biasanya menganggap dirinya atau kelompoknya lebih
baik daripada yang lain. Padahal Allah Subhanahuwataala menegaskan
bahawa orang yang diperolok-olokkan itu boleh jadi lebih baik daripada
orang yang memperolok-olokkan.
Dengan sikap sukhriyyah (memperolok-olok) ini, suasana ukhuwwah
antara individu-individu atau antara kelompok-kelompok yang bersih boleh
menjadi keruh. Yang sedia keruh akan bertambah keruh.
Pada masa ini terdapat banyak kelompok atau organisasi da’wah yang
menyebarkan Islam. Antara mereka sering kali ada perbezaan-perbezaan
tertentu. Ada yang meletakkan al hadaful a’la (sasaran tertinggi)nya
untuk menegakkan khilafah Islamiyyah. Ada pula yang menetapkan pembaikan
ibadah dalam bidang tertentu sebagai sasaran tertingginya. Keadaan
ini, kadang-kadang melahirkan suasana tanafus (persaingan) yang tidak
sihat. Persaingan ini semakin tidak sihat sekiranya satu kelompok
mencemuh atau memperolok-olokkan kelompok yang lain.
Seharusnya setiap kelompok itu berusaha ke arah penyatuan hakiki,
atau berlapang dada untuk mewujudkan suasana ta’awun, bagi menghadapi
konspirasi taghut yang kini menghentam Islam dari berbagai sudut.
3. ‘Adamul Lamz (عدم اللمز )
Ertinya ialah tidak mencela orang lain. Ini ditegaskan oleh Allah Subhanahuwataala dengan firmanNya:
“Dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri” (Al Hujurat : 11)
Berdasarkan ayat ini, perbuatan mencela sesama muslim dianggap
mencela diri sendiri. Ini kerana pada hakikatnya kaum muslimin dianggap
satu kesatuan. Kemenangan Islam hanya akan dapat dicapai dengan adanya
kekuatan aqidah dan ukhuwwah. Adalah sukar untuk mencapai kemenangan
Islam jika tidak ada cinta sebagai pengikat ukhuwwah lantaran sebahagian
mukmin mencela sebahagian yang lain. Apatah lagi jika celaan itu
berkaitan dengan permasalahan pangkat dan kebendaan.
Allah Subhanahuwataala menyuruh Rasul dan orang-orang beriman
bersabar di atas segala kekurangan orang-orang mukmin yang lain.
FirmanNya:
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan
orang-orang yang menyeru Rab mereka di pagi dan senja hari dengan
mengharap keridhaanNya”
(Al Kahfi : 28)
Cela mencela itu adalah salah satu kebiasaan orang-orang munafik. Allah Subhanahuwataala menjelaskan kepada kita:
“Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu
tentang (pembahagian) zakat (iaitu orang-orang munafik). Jika mereka
diberi sebahagian daripadanya, mereka bersenang hati, dan jika mereka
tidak diberi sebahagian daripadanya, serta merta mereka menjadi marah”
(At Taubah : 58)
4. Tarkut Tanabuz (ترك التنابز )
Iaitu meninggalkan panggilan-panggilan yang tidak baik terhadap sesama muslim. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwataala:
“Dan janganlah kamu saling memanggil dengan sebutan-sebutan (yang buruk)”
(Al Hujurat : 11)
Tanabuz yang paling buruk ialah memanggil orang mukmin dengan
panggilan yang membawa maksud ‘kafir’. Atha, salah seorang mufassirin
mengatakan, “Tanabuz adalah nama atau sebutan yang engkau tujukan kepada
seseorang yang mengandungi erti bahawa orang itu bukan muslim (Tafsir
Fathul Qadir vol V hal. 64).
Contohnya apabila seorang muslim menolak da’wah seorang penda’wah maka janganlah dengan mudah penda’wah itu berkata,
“Ah, orang itu bersikap seperti Abu Talib… !
5. Ijtanibu Kathiran Minadzan (اجتنبوا كثيرا من الظن )
Allah subhanahuwataala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman jauhkanlah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian prasangka itu dosa.”
(Al Hujurat : 12)
Pada dasarnya seorang muslim dengan muslim yang lain bersikap
berbaik sangka, kecuali jika ada bukti-bukti yang jelas bahawa dia
melakukan kesalahan. Sebaliknya, kaum muslim harus berperasaan curiga
dan berhati-hati terhadap musuh atau orang kafir.
Prasangka buruk terhadap sesama muslim boleh menjurus kepada
kebinasaan ukhuwwah Islamiyyah. Kita telah bertemu dengan banyak
kumpulan-kumpulan orang Islam yang dilanda krisis ukhuwwah, yang mana
kalau diteliti, adalah berpunca daripada prasangka buruk yang tumbuh
subur di kalangan mereka.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermafhum):
“Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu adalah paling dusta.”
(Riwayat Bukhari)
6. ‘Adamut Tajassus (عدم التجسس )
Iaitu tidak mencari-cari
kesalahan atau aurat orang lain. Perbuatan ini amat dicela oleh Islam.
Allah Subhanahuwataala amat suka apabila hambaNya berusaha untuk menutup
‘aib saudaranya. Dengan sikap ini, akan terbukalah kesempatan bagi
mereka yang khilaf atau lalai itu untuk kembali masuk ke dalam bi’ah
solehah. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan (dan aurat) orang lain “
(Al Hujurat : 12)
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermafhum):
“Janganlah kamu sekelian saling mendengki, saling membenci dan janganlah pula saling mencari kesalahan.”
Diriwayatkan bahawa ‘Umar bin Khattab berjalan-jalan di kota pada
waktu malam untuk meninjau-ninjau keadaan rakyatnya. Tiba-tiba beliau
mendengar seorang lelaki menyanyi-nyanyi dari dalam sebuah rumah. Maka
Umar pun naik ke atas dinding pagar rumah itu dan masuk ke dalamnya lalu
berkata:
“Wahai musuh Allah, apakah kamu mengira bahawa Allah akan menutupi perbuatan dosamu itu?”.
Orang itu pun menjawab:
“Engkau jangan terburu-buru menghukum aku
bersalah wahai Amirul Mukminin. Jika aku melakukan kesalahan, maka
engkau telah melakukan tiga kesalahan sekali gus. Pertama engkau telah
masuk ke dalam rumah ini bukan melalui pintu padahal Allah berfirman:
“Dan masuklah ke dalam rumah-rumah itu dari pintu-pintunya.”
(Al Baqarah : 189)
Kedua, engkau telah masuk ke dalam rumah ini tanpa izin penghuninya, pada hal Allah telah berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
memasuki rumah yang bukan rumah kamu sebelum meminta izin dan memberi
salam kepada penghuninya.“
(Al Nur : 27)
Dan, yang ketiga, engkau telah melakukan tajassus (mencari-cari
kesalahan), pada hal ia jelas dilarang oleh Allah dengan firmanNya:
“Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan (dan aurat) orang lain “
(Al Hujurat : 12)”.
Lalu Umar berkata pula:
“Mahukah engkau mema’afkan aku?”. Orang itu menjawab:
“Sudah tentu!”. Lalu Umar pun keluar dan meninggalkannya. (Hayatus Sahabah, 2:240).
7. Ijtinabul Ghibah (اجتناب الغيبة )
Allah Subhanahuwataala menegaskan:
“Dan janganlah kamu menggunjing sebahagian yang lain. “
(Al Hujurat : 12)
Ghibah sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam adalah menceritakan keburukan atau kejelekan orang lain.
Apabila seseorang menceritakan kejelekan orang lain, maka ada dua
kemungkinan yang merugikan. Pertama, apa yang dicerita itu benar
berlaku, maka perbuatan itu dinamakan ghibah. Kedua, apa yang
diceritakan itu tidak berlaku atau tidak benar, maka perbuatan itu
dinamakan fitnah.
Begitu besar dosa ghibah sehingga Allah Subhanahuwataala menyamakan
orang yang melakukannya dengan orang yang memakan daging saudaranya yang
telah mati. Dalam sebuah hadith diterangkan, ketika Rasulullah
Salallahu’alaihiwasallam dimi’rajkan, baginda dipersaksikan dengan
seorang yang berkuku tembaga sedang mencakar-cakar wajah dan dadanya.
Baginda bertanya kepada Malaikah
Jibril:
“Apakah dosa orang itu wahai Jibril?”. Jibril menjawab:
”Dia adalah orang yang suka memakan daging saudaranya ketika di dunia (ghibah).”
Penutup
Demikianlah Al Qur’an dan As Sunnah menuntut agar umat Islam sentiasa
berada dalam suasana ukhuwwah Islamiyyah yang indah. Tujuh langkah di
atas merupakan jalan-jalan utama untuk menjaga kekuatan ukhuwwah
Islamiyyah. Semoga Allah selalu mengikat hati-hati kita yang beriman
kepadaNya.
SUMBER; http://halaqahmuntijah.wordpress.com